Ditanya oleh sahabat kepada Rasulullah, “apakah amalan yang paling utama?”
Dijawab oleh Rasulullah, “solat di awal waktu.” Dikatakan waktu solat
itu terbahagi kepada 3: Iaitu awal, pertengahan dan akhir. Dan seutama
solat yang dianjurkan oleh Rasulullah ialah solat di awal waktu.
Yang utama pada awal waktu pula adalah solat sekira-kira bila masuk
waktunya dan diperuntukkan waktu untuk azan, solat sunat 2 rakaat dan
iqamat. Dipandang baik seseorang terhadap solatnya apabila masuk waktu
solat, dia sudah pun berada di atas tikar sembahyang. Kemudian
daripadanya ialah orang yang bila masuk masuk waktu solat, dia sedang
berwudhuk dan bersiap-siap untuk berada di tikar sembahyang. Kemudian
daripada orang-orang tersebut ialah orang yang bila masuk waktu, dia pun
tersedar lalu bersiap untuk wudhuk dan mengerjakan solat. Tersebut
dalam hadis, orang yang sempat bertakbiratul ihram bersama imam pada
rakaat pertama setiap kali solat, selama 40 hari berturut-turut, dia itu
terhindar daripada penyakit nifaq. InsyaAllah, istiqamahnya itu akan
melepaskan dia daripada api neraka.
Orang yang bila masuk waktu solat dan ada urusan yang tidak dapat
tidak dielakkan dan dia mahu melewatkan solatnya, maka hendaklah dia
memasang niat untuk mengerjakan solat tersebut. Dibimbangi dia meninggal
atau uzur sebelum sempat mengerjakan solat sedang tidak ada dalam
hatinya niat untuk melakukan solat.
Ada beberapa keadaan yang dibenarkan untuk seseorang itu melewatkan solatnya seperti berikut:
1. Solat Zohor, dikala waktu panas terik yang bersangatan.
Sehinggakan panas terik itu menghalang orang untuk datang ke masjid
mendirikan solat jemaah. Ditunggu hingga panas itu berkurangan lalu
didirikan solat tersebut.
2. Solat Isyak, jika ada majlis ilmu atau majlis zikir maka
dilewatkannya. Ataupun berkira-kira untuk tidur sebentar dan bangun
semula mengerjakan solat Isyak berserta tahajjud. Namun sebahagian besar
ulamak memilih keutamaan solat Isyak di awal waktu.
3. Apabila makanan sudah terhidang dan pada masa yang sama solat
hendak didirikan, maka Rasulullah menganjurkan yang makanan itu
diselesaikan dahulu. Kemudian baru bersolat.
4. Bila bertemu keadaan kehendak membuang air kecil dan air besar
sebelum takbiratul ihram, maka didahulukan perkara mendatang itu
sehingga selesai dan berwudhuk kembali. Jika sudah takbiratulihram,
haramlah dia memutuskan solatnya kecuali kehendak itu jika tidak
diselesaikan boleh mendatang mudharat, maka di waktu itu, bolehlah dia
memberhentikan solatnya.
5. Seseorang dalam keadaan mengantuk yang bersangatan dilarang oleh
Rasulullah untuk mendirikan solat. Dia boleh tidur sekejap sekira-kira
hilang mengantuknya dan kemudian dirikan solat. Dibimbangi jika dia
bersembahyang dalam keadaan mengantuk, dia tidak tahu apa yang dia
ucapkan di dalam sembahyangnya.
6. Seseorang yang berada di dalam masjid yang masjid itu punya imam
yang dilantik hendaklah menunggu imam itu datang mengimami solat. Kerana
hak imam itu adalah pada imam yang dilantik. Menunggu itu adalah
mengikut perkiraan bahawa imam itu akan datang dan tidaklah terlalu lama
hingga luput awal waktu solat. Tidaklah boleh seorang imam itu menunggu
jemaah yang ramai sehingga luput awal waktu solat kerana ada pendapat
terpilih ialah berjemaah solat dengan beberapa orang di awal waktu lebih
utama daripada banyak orang di akhir waktu.
7. Orang yang wajib baginya solat Jumaat dan tiada keuzuran pergi ke
masjid, jika dia tidak menghadirinya, maka hendaklah dilewatkan solat
zohornya. Ditunggu sehingga selesai solat Jumaat di kariahnya, barulah
dia mendirikan solat Zohor.
8. Boleh melewatkan waktu solat sehingga masuk waktu solat yang satu
lagi dan ini disebut jamak taakhir. Ia adalah keringanan atau rukhsah
kepada orang musafir. Namun bagi orang yang hendak jamak taakhir, dia
hendaklah meniatkan untuk mentaakhirkan solat pertamanya dalam waktu
solat kedua pada waktu solat pertama. Contoh, bila masuk waktu zohor,
maka meniatkan untuk solat zohor dalam waktu asar. Dibolehkan baginya
untuk berniat tersebut selagi waktu zohor tetap ada.
Demikianlah serba sedikit tentang kupasan permasalahan solat di awal waktu, moga-moga ada manfaatnya untuk kita bersama.
Sumber: http://fekah.blogspot.com
No comments:
Post a Comment